Sentiasa jaga disiplin, patuhi peraturan, jauhkan diri dari bahan terlarang




Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said





BERAKAS, Khamis, 16 April. - Semua atlet dan pegawai diingatkan untuk sentiasa menjaga disiplin, mematuhi peraturan penganjur, menjauhkan diri daripada bahan-bahan terlarang, serta mematuhi akta Anti-Doping yang dikuatkuasakan oleh World Anti-Doping Agency (WADA).


Selain itu, pegawai dan jurulatih juga diingatkan untuk memastikan aspek 'safeguarding athletes', iaitu menjaga kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan atlet sepanjang kejohanan Sukan Pantai Asia Ke-6 yang akan berlangsung secara rasminya bermula pada 22 hingga 30 April 2026 di Sanya, Republik Rakyat China.


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan NBD (BDNOC) bersabda demikian pada Majlis Penyerahan Bendera Negara Kepada Kontinjen NBD Ke Sukan Pantai Asia Ke-6, Sanya, Republik Rakyat China yang berlangsung di Bilik Simpur, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, di sini.


Terdahulu, dalam sabda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah mengucapkan tahniah kepada atlet-atlet yang telah dipilih dan dinilai oleh Urus Setia Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan, dan dihadapkan kepada Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan bagi sokongan.


"Saya berharap atlet-atlet yang terpilih ini akan dapat menunjukkan disiplin yang tinggi dan memberikan saingan terhadap lawan mereka, di samping memegang amanah yang diberikan kepada mereka bagi mewakili negara dengan penuh tanggungjawab dan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya semasa bertanding nanti, selain menunjukkan semangat juang yang tinggi tanpa rasa gentar apabila berhadapan dengan lawan mereka bagi mengharumkan nama NBD," sabda Duli Yang Teramat Mulia. 


Walaupun penyertaan negara pada kali ini hanya melibatkan empat atlet, DYTM seterusnya bersabda penyertaan seorang atlet wanita adalah amat signifikan.


Perkara ini sabda DYTM lagi, mencerminkan komitmen berterusan negara dalam mempromosi penyertaan wanita dalam sukan secara inklusif, di samping memperkukuh usaha ke arah pemerkasa wanita dalam bidang sukan.


Dalam masa yang sama, DYTM seterusnya bersabda bahawa ia menunjukkan usaha untuk memastikan keseimbangan jantina dalam pembangunan sukan negara, selaras dengan Pelan Strategik Wanita dalam Sukan, BDNOC.


Pada kesempatan ini, DYTM turut bersabda merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Persatuan Sukan Kebangsaan dan ibu bapa yang terlibat dalam sama-sama memberikan sokongan yang berterusan kepada atlet-atlet yang akan menyertai Sukan Pantai Asia Ke-6.

Close